Oleh
ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
(Kurator
Muzium Kesenian Islam Malaysia)
CORAK
geometri amat sinonim dengan kesenian Islam. Ia merupakan salah satu daripada
tiga motif hiasan yang sering menjadi pilihan para seniman Islam kerana
sifatnya yang bukan figura (makhluk bernyawa).
Dua
lagi motif pilihan tersebut adalah kaligrafi dan corak tumbuhan.
Geometri
didefinisikan di dalam kamus Dewan sebagai salah satu cabang matematik yang
berkaitan dengan ukuran, sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut permukaan dan
bongkah.
Bagaimanapun,
di dalam bidang seni corak geometri merujuk dengan bentuk yang terhasil
daripada susunan dan gabungan titik dan garis.
Corak
geometri sebenarnya telah lama wujud dan digunakan sebagai hiasan terutamanya
di atas seni bina dalam beberapa tamadun awal dunia seperti di Greek, Rom dan
Iran.
Corak
geometri ini dikenali sebagai corak geometri tradisional. Corak geometri
menjadi lebih popular dan mencapai zaman kegemilangan dari segi penggunaannya
sewaktu zaman pemerintahan kerajaan Islam.
Para
seniman Islam telah berjaya menggunakan corak geometri tradisional dan
kemudiannya mencipta corak dan bentuk yang lebih sofistikated dan halus
buatannya untuk diaplikasikan di atas barangan kesenian Islam.
Apa
yang dititik beratkan oleh para seniman Islam ialah mendapatkan satu jenis
corak yang menekankan tentang kepentingan keharmonian bentuk dan susunan yang
betul. Susunan corak geometri juga turut merupakan sumbangan penting daripada
para cendekiawan Islam khususnya yang menjurus di dalam bidang matematik,
astronomi dan sains.
Corak
geometri tradisional adalah corak asas seperti segi empat, bulatan dan segi
tiga. Corak-corak ini kemudiannya boleh membentuk corak yang lebih kompleks
apabila digabungkan sesama sendiri ataupun dengan corak yang lain.
Corak
geometri juga boleh diaplikasikan dengan falsafah dan maksud yang tersirat
seperti contoh, bentuk bulatan.
Ia
dikaitkan dengan maksud tiada permulaan dan tiada pengakhiran ataupun sebagai
simbol keabadian. Bulatan merupakan bentuk asas kepada bentuk poligon yang
lain.
Kehalusan
dan ketepatan sudut yang dihasilkan oleh para seniman Islam dalam menghasilkan
motif geometri adalah amat dikagumi. Ia bukan sahaja mempamerkan bakat seni
malah ia turut mempamerkan kemahiran pengiraan yang pelu dilakukan bagi
menghasilkan bentuk geometri yang tepat.
Tidak
seperti hari ini yang kebanyakan motif dihasilkan dengan menggunakan mesin dan
pengiraan komputer, para seniman Islam dahulu perlu melakukan semua pengiraan
secara manual dengan ilmu yang mereka perolehi.
Antara
medium yang digunakan dalam menghasilkan hiasan corak geometri ialah kayu,
gading, kaca dan jubin. Di Iran, corak geometri banyak digunakan dalam teknik
hiasan yang dikenali sebagai Khatam Kari (tatahan) di atas artifak yang
berasaskan kayu.
Antara
artifak di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) yang dihiasi dengan corak
geometri ialah pintu kayu, kotak kayu, panel tingkap, seramik dan panel hiasan
dinding dan siling. Terdapat juga corak geometri yang digabungkan dengan corak
tumbuhan dalam satu kerja seni.
Panel
hiasan siling yang menggabungkan corak geometri dan corak tumbuhan.
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 7/10/2011.
Write a comment
Catat Ulasan